Tuesday, June 9, 2009

Sokonglah langkah kerajaan wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM

Kerajaan kini khususnya Kementerian Pelajaran sedang menilai pendapat orang ramai mengenai cadangan untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek yang wajib lulus untuk layak dianugerahkan dengan Sijil Pelajaran Malaysia.

Kini banyak suara – suara yang menyatakan bahawa ini akan menyebabkan anak – anak di luar bandar tercicir ditambah lagi dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang dikatakan sudah cukup membebankan.

Saya begitu terpanggil mengapakah masih ramai lagi yang mempertikaikan langkah kerajaan ini. Dikatakan ini akan menyebabkan bangsa akan lupa identiti bangsanya sendiri, mengenepikan keutamaan bahasa kebangsaan dan malah ada yang menyatakan rakyat belum bersedia untuk semua ini.

Jadi bilakah masanya yang sesuai itu???

Menanti tahun 2020 baru hendak tukar? Inilah masanya untuk kita memperkasakan anak – anak Malaysia ini dengan penguasaan bahasa antarabangsa itu. Umum mengetahui Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan di peringkat antarabangsa untuk apa – apa perkara sekalipun.

Mungkin ramai yang akan mengambil contoh Jepun dan China. Mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris untuk pelajaran Sains dan Matematik tetapi mampu membina empayar ekonomi dan kecanggihan teknologi terkini. Harus diingat bahawa mereka sudah mula maju kehadapan lebih dahulu dari kita. Dimana kita pada tahun 1970-an? Kita masih lagi dalam usaha untuk berpadu kerana sikap kita sendiri yang enggan mempercepatkan proses perpaduan. Taraf hidup kita tidak pun menyamai mereka pada waktu itu. Tetapi dimana mereka? Mereka sudah jauh kehadapan. Mereka sudah mampu menghasilkan kereta sendiri tetapi kita dikala idea penghasilan kereta nasional dicetuskan ramai yang mentertawakan idea Tun Dr. Mahathir, namun ahli – ahli tertawa itu juga yang mengenakan kereta buatan negara itu kini.

Di era yang baru ini, kita sudah mampu bersaing dengan mereka. Kita mampu berdiri seiring dengan dengan negara – negara lain. Kita sedang giat untuk memajukan sains dan teknologi dalam negara kita. Namun hakikatnya kita sedikit tertinggal dengan negara – negara maju yang lain. Kalau sudah namanya tertinggal kita harus mengejar. Bagaimana? Kita harus belajar dari teknologi mereka. Bagaimana kita hendak belajar dari mereka? Kuasailah bahasa inggeris.

Kita sudah tidak mampu lagi untuk sekadar mengharapkan anak – anak yang bernasib baik sahaja yang dihantar ke luar negara untuk belajar itu semua. Itu akan memakan masa yang lama dan untung nasib jika mereka ingin kembali membawa ilmu itu ke tanah air. Bagaimana kalau mereka terus menetap di luar negara?

Dengan bahasa Inggerislah kita harus memulakan pendidikan ini agar kita mampu mengejar negara – negara maju yang lain. Jika kita masih lagi ingin mempertikaikan hal yang remeh temeh ini, sudah pasti kita akan lebih tertinggal.

Bagaimana dikatakan rakyat kita masih tidak mampu menguasai bahasa Inggeris? Mudah sahaja jawapannya. Kebanyakkan Rakyat Malaysia malas hendak berusaha. Saya bukan menghina bangsa Malaysia kerana saya sendiri pun bangsa Malaysia. Kita ambil contoh saudara kita dari keturunan Tiong Hua. Lahir dengan bahasa ibunda masing – masing iaitu Mandarin atau dialek – dialek cina yang lain sama juga seperti keturunan Melayu. Kita sama – sama belajar Bahasa Inggeris dari peringkat pra-sekolah hingga ke peringkat sekolah menengah. Mengapa saudara kita berbangsa Tiong Hua mampu menguasai 3 Bahasa sekaligus iaitu bahasa ibundanya, Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris. Adakah sistem pendidikan mereka berbeza? Tidak! Semuanya belajar mengikut sistem pendidikan negara dan semuanya mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Inggeris dikatakan menyukarkan para pelajar untuk mempelajarimatapelajaran sains dan matematik. Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Saya belajar sains dan matematik dari sekolah rendah hingga tamat tingkatan 5 dalam bahasa Kebangsaan. Namun selaras dengan perubahan dasar pendidikan apabila melangkah ke tingkatan 6 matapelajaran sains dan matematik semuanya diajar dalam bahasa Inggeris. Saya tetap mampu mengikuti pengajaran matapelajaran tersebut walaupun selama ini saya belajar dalam bahasa Kebangsaan. Dan seperkara lagi, saya bukan berasal dari sekolah di bandar – bandar, saya bersekolah di sekolah luar bandar yang sangat terhad kemudahan pendidikannya.

Bangunlah wahai Rakyat Malaysia. Jika kita tidak memulakannya kini kita akan tertinggal. Bila lagi kita akan mulakannya kalau bukan sekarang. Jangan nanti kita andaikan sudah banyak tapak kaki manusia di bulan oleh rakyat negara lain kita masih sekadar berbangga menjejak kaki di stesen angkasa antarabangsa.